23 June 2014

perantau

tengah hari Jumaat, ayah pulang dari kerja. di muka pintu, ayah hulur sebuah buku. aku ambil tanpa bertanya mahupun menyatakan terima kasih. lama dahulu, ayah selalu bercerita tentang sastera. ayah suka akan sastera. ayah betul-betul suka akan sastera. dia rajin sebut-sebut novel-novel kegemarannya supaya aku turut membaca, menghadam, dan merasai apa yang dia lalui sepanjang meletakkan diri pada posisi watak-watak dalam novel-novel tersebut. kalau ada yang mengusulkan supaya sastera perlu digugurkan daripada kurikulum sekolah bagi memberi lebih masa pada matapelajaran-matapelajaran mainstream pada Zaman Skrin Sentuh sekarang, sekeras-kerasnya ayah menidakkan. ayah akan bercakap tentang kesan mempelajari sastera terhadap moral dan peradaban manusia. apapun, bagus juga ayah beri novel ini. pinjam, sebenarnya. tapi tak mengapa. sekurang-kurangnya bolehlah aku racunkan rasa bosan sementara menunggu panggilan temuduga. sekarang, label aku ialah penganggur. bukan lagi perantau.

bekas perantau. 



Aziz Jahpin. Kubaca nama penulisnya. aku jamu mata dengan ilustrasi kulitnya. kulit novel itu dominan warna kuning matahari-pukul-sepuluh-pagi. ada garisan-garisan rambang yang mungkin dihasilkan daripada pen marker hitam atau berus kaligrafi dan dakwat. (aku cuma mengagak.) garisan tersebut menegak dari atas ke bawah. sedikit-sedikit sahaja yang melintang. garisan tersebut seolah-olah membentuk sekumpulan manusia yang sedang berdiri berlatarbelakangkan pokok-pokok yang tinggi. di belakang pokok-pokok tersebut pula ada garisan-garisan halus silang pangkah yang aku tebak sebagai awan serta rupa bulat berwarna putih yang mungkin boleh aku namakannya; bulan penuh. pada dada-dada manusia tadi juga ada warna putih. di depan mereka pula ada garisan lingkaran yang tidak sempurna dan kelihatan seperti dicakar-cakar. macam kawad duri. di bahagian paling bawah, ada tulisan huruf besar bermukataip Franklin Gothic Heavy Bold.

PULANGLAH PERANTAU.













29-11-2013

No comments: