21 September 2012

hari ini hari Bagus. bhg 4 (bhg akhir)


Julai, 20 - Jumaat - 12:35
         
          Aku tak pasti sama ada kereta api tersebut akan bergerak menghala ke selatan atau ke pantai timur. Hendak aku bertanya kepada Farid Supandi untuk meminta kepastian. Sebelum itu, aku lihat keadaan diri aku. Aku lihat Farid Supandi. Aku lihat aku, aku lihat dia semula. Aku tak fikir aku ada masa yang cukup untuk mencari orang lain. Yang aku nampak cuma dia. Aku sudah tidak peduli apa dia akan fikir tentang diri aku yang sedikit ciri-ciri fizikal sahaja lagi boleh disamakan dengan orang tidak siuman. “Ah, lantaklah! Bukan jumpa dia lagi lepas ni.” Motivasi aku meningkat. Hati aku membentak. Tanpa aku sedari, secara lisan aku turut membentak.

          “Farid! Tren ni nak pergi mana?!”
          “Johor.......”

Dari riak wajah Farid Supandi jelas bahawa dia jawab antara rasa terkejut, geli hati, dan pelik. Dan pening. Mungkin. Terkejut kerana disergah secara tiba-tiba, geli hati kerana melihat fizikal aku, pelik kerana aku berbual dengannya seperti sudah lama berkawan baik walhal hakikatnya aku tidak pernah menegurnya selama empat tahun setengah berada di kampus. Bahagian pening tu mungkin disebabkan oleh aku memarahinya tidak tentu pasal tentang ke mana arah kereta api akan bergerak. Aku tinggalkan dia dan perasaan dia. Dengan tidak mengucapkan terima kasih dan dengan tergopoh-gapah, aku naik ke dalam gerabak. Ketika mencari-cari tempat duduk aku, beg yang aku bimbit terlanggar salah sebuah tempat duduk lalu salah satu pin yang dari tadi aku genggam telah terlepas. Kereta api berlepas. Aku malas untuk meneruskan pencarian pin tersebut kerana keadaan kereta api yang bergoyang-goyang buat aku jadi terhuyung-hayang. Aku terus duduk di tempat duduk aku. Aku letak beg yang dari tadi kerap berlanggar dengan sesuatu dan seperti sampan yang teroleng-oleng. Aku mengubah posisi kerusi lalu memperbetul punggung dan postur. Selepas mencapai tahap keselesaan yang aku mahukan , aku menghela nafas panjang. Ohoi.....Lega kau!

Tup! Tup! Farid Supandi di depan aku! Rupa-rupanya, dia turut menaiki gerabak yang sama. Aku fikirkan tadi aku tidak akan berjumpa dengannya semula. “Ah, lantaklah! Bukan dia ingat lagi kes ni lepas ni.” Aku beritahu diri aku sendiri lalu diri aku balas, “Kepala otak kau!” Dalam kereta api, aku buang pandangan ke luar tingkap. Aku buang bayangan kejadian-kejadian buruk sepanjang pagi tadi sehingga ke minit aku duduk ini. Aku buang kesemuanya ke dalam Sungai Jelai. Aku cipta bayangan lain. Aku bayangkan rupa kerepek sukun dan kerepek tempe. Lama aku simpan. Lama aku menunggu hari cuti. Aku hendak bawakan untuk Ayah dan Mak. Aku susun elok-elok dalam beg balik kampung. Aku simpan kemas-kemas di bawah rak. Aku jaga baik-baik sepanjang berada di kolej kediaman. Waktu aku sampai di rumah, aku jangkakan bahawa seisi rumah telahpun selesai makan malam. Kebiasaannya, mereka gemar ada cemil-cemilan selepas makan malam iaitu ketika menonton rancangan di televisyen. Dengan tidak sabar-sabar, beg balik kampung itu aku buka zipnya lalu aku keluarkan dua paket kerepek tersebut. Namun, emosi aku berubah serta-merta apabila melihat keadaan kerepek tersebut yang telah menjadi separa debu. Hancur. Spontan dengan itu, telinga aku terdengar suara pekikan dua orang gadis yang seakan-akan tergesa-gesa, berkomunikasi antara satu sama lain dalam jarak yang jauh dan disusuli bunyi dentuman sesuatu beban terhempas dari tempat tinggi.

“Muna! Muna! Sini Muna!”
“Kat mana?!”
“Sini! Kat sini! Kat sini! Campak sini!”

“Boom!!”

Beg aku dicampak ke tanah dari aras 4.







Ya Allah......apa lagi dugaanMu selepas ini, ya Allah. Aku seolah-olah menyalahkan takdir. Namun, apabila aku fikir-fikirkan semula, hari ini merupakan hari yang sangat baik. Pada hari Jumaat; penghulu segala hari inilah ‘dia’ bersalaman dengan aku setelah lebih dua tahun aku dan dia tidak bertegur sapa.

No comments: