23 June 2013

terima kasih, cinta.

deruman enjin Toyota Unser 1.8 LGX di perkarangan rumah semacam loceng penggera untuk aku yang leka mengemas di bahagian dapur rumah. aku menamatkan aktiviti. sisa-sisa minyak dan kotoran telah aku bersihkan. dua buah peti sejuk juga telah aku selenggara. tangan aku, aku cuci. aku keringkan. aku petik suis lampu untuk mematikannya. aku perlu segera buka pintu dan pintu pagar untuk emak masuk. terkocoh-kocoh aku tanggalkan selipar. pada masa itu, selipar tersebut terasa lebih sukar untuk ditanggalkan berbanding hari-hari biasa di mana aku tidak mengejar masa. habis terpelanting ke sana ke mari. namun, baharu tiga tapak aku jalan, emak sudahpun berada di hadapanku di ruangan pemisah antara ruang tamu dan dapur. 

"kau buat apa?", tanya emak.
"tak ada apa-apa.", jawab aku ala kadar.

emak masuk ke dapur. aku masuk ke bilik tidur. aku keluar semula untuk minum air jarang di dapur. di ruangan pemisah antara ruang tamu dan dapur, sekali lagi aku bertembung dengan emak. baju kerja masih pada badannya. emak pandang dapur, emak pandang aku semula.

"terima kasih...", nada suara emak rendah tetapi ceria. ada sekuntum senyuman mekar di bibirnya.

ucapan emak tidak aku balas. hatta senyumannya juga tidak aku respon. aku cuma diam. menahan rasa sebak. dalam tempoh dua puluh tiga tahun aku hidup, mungkin belum sampai dua puluh tiga kali aku ucap lima suku kata keramat tersebut pada emak.

1 comment:

ash_mza said...

heh.

aku pun.
sama.

hurm.