“bukannya nak makan
sangat pun telur tu…bunga tu pun, bukan dibuat apa pun lepas ni…tapi boleh
kecil hati kalau tak dapat.” sambil duduk di ruang tamu, ayah membelek-belek bunga telur yang diperoleh di
rumah pengantin yang dia pergi semalamnya.
ayah sibuk bercerita
perihal keistimewaan menerima bunga telur terutamanya bagi masyarakat Melayu
era pra iphone. saat-saat bunga telur paling bernilai adalah sewaktu tetamu
meninggalkan kawasan rumah pengantin dan berjalan menuju ke motor atau motokar
atau rumah jika rumahnya terletak berdekatan. berjalan pulang sambil membawa
bunga telur dari rumah pengantin dan dilihat orang sekeliling merupakan suatu
kemegahan buat si tetamu tersebut.
sesekali apabila ayah
senyap, aku mencelah merancakkan rentak perbualan. bunga telur juga melambangkan
darjat keakraban seseorang tetamu dengan si pengantin kerana cuma tetamu-tetamu
tertentu sahaja yang menerimanya sementara yang lain cuma menerima telur yang
mungkin diletakkan di dalam bekas kotak kad atau uncang fabrik sifon atau
apa-apa sahaja bekas kecil. ramai orang ada masalah untuk membezakan antara harga
dan nilai. harga bunga telur mungkin saja paling mahal tidak jejak Ringgit Malaysia lima per tangkai tetapi nilai dan sentimen yang terdapat padanya cuma
boleh dirasai oleh orang yang memahami falsafah bunga telur itu sendiri.
“telur itu simboliknya
memanjangkan zuriat. orang zaman sekarang, beri gula-gula. gula-gula dimakan, sampah dibuang
merata-rata. haa itulah puncanya habis madu sepah dibuang.” suara seorang
pensyarah falsafah seni sewaktu aku di kampus dahulu tiba-tiba bergema dalam ruang tamu.
No comments:
Post a Comment