04 March 2014

dua kali.

saya kurang gemar beritahu sesuatu kepada seseorang dua kali. atau lebih. sama ada kali pertama diberitahu oleh saya atau orang lain. pada suatu hari semasa saya di kampus, pensyarah-pensyarah di jabatan hal ehwal pelajar telah mengatur sebuah pertemuan antara para pelajar di kampus tersebut dengan pengarah kampus. tujuan pertemuan interaksi dua hala tersebut adalah supaya dapat memberi laluan kepada para pelajar untuk memberitahu secara terus permasalahan yang dihadapi oleh para pelajar kepada tuan pengarah.

telah menjadi sikap saya lebih gemar mendengar pandangan orang terlebih dahulu. jika pandangan tersebut tidak saya setuju, akan saya bantah. sebaliknya, jika saya turut bersetuju, saya diamkan sahaja. maka, saya teruskan mendengar. ada pelajar mengadu mengenai ketidaktelusan sesetengah pensyarah dalam memberikan markah kepada pelajar. ada pelajar mengadu mengenai ketempangan sistem dan ketirisan pelaksanaan sistem pengurusan disiplin pelajar. ada pelajar mengadu mengenai masalah ketiadaan bilik kuliah khas sebaliknya cuma menumpang di stor dewan.

selepas mendengar aduan mengenai ketiadaan bilik kuliah, serta-merta saya berubah fikiran. hal ini demikian kerana masalah saya dan rakan-rakan seunit iaitu seramai 40 orang yang lain juga adalah sama. tiada bilik kuliah khas dan hanya menjalani sesi kuliah di studio (merangkap stor) PSV yang sempit dan perlu dikongsi bersama-sama pelajar senior dan supersenior.

saya antara dua. sama ada untuk meneruskan atau membatalkan niat untuk mengemukakan permasalahan tersebut. meneruskan niat saya itu akan membuatkan saya kelihatan berani dalam kalangan rakan-rakan kerana berani bersuara di khalayak tetapi menjadi bukti saya kurang menumpukan perhatian terhadap ucapan rakan sekampus tadi selain kelihatan seperti kebudak-budakkan kerana berusaha semahu-mahunya memberitahu orang lain apa kehendak saya itu. 

saya bersyukur akhirnya saya membatalkan niat tersebut. saya hidup pun bukan untuk menunjuk-nunjuk kekuatan atau kelebihan saya pada orang lain. saya hidup untuk diri saya. saya percaya tuan pengarah juga tidak suka mendengar perkara yang sama diulang-ulang walaupun daripada orang yang berbeza. saya sendiri tidak suka orang mengulang-ulang arahan atau aduan terhadap saya. saya bukan tuli.




No comments: