08 July 2013

itulah aku.

tepat satu jam lima belas minit lepas, dari waktu aku menaip, aku menelefon Akmal. sudah dua malam dia menelefon aku tetapi tidak aku jawab kerana telah tidur. aku keletihan mengerjakan urusan dunia yang entah apa hasilnya aku dapat. aku berborak dengannya dan cuba untuk tidak membuatnya tersinggung dengan kata-kata aku. jumlah jari aku termasuk jari kaki tidak cukup untuk menghitung sudah berapa banyak orang yang telah aku sakiti hatinya. tik...tok...tik...tok...tik...tok...tik...tok............ bunyi detik jam dinding membawa aku keluar dari ruang tamu. aku terawang-awang dan akhirnya aku berada di suatu tempat asing. di atas jalan. sunyi. yang berbunyi cuma denyut nadi dan suara hati aku terjerit-jerit.

aku pusing seluruh badan aku menghadap ke belakang. aku perhatikan semula jalan yang telah aku lalu. nun di hujung jalan, ada simpang. aku datang dari arah kanan. maksudnya, aku telah belok ke kiri. berdiri membatu di hadapan aku, sebuah bungkusan hitam. bungkusan itu berbau busuk. hanyir. airnya yang pekat melekit meleleh-leleh ke permukaan tanah. bungkusan itu bertali. talinya pendek. talinya mencerut mulut bungkusan tersebut dan hujungnya mengikat pergelangan kaki aku.

aku pusing semula seluruh badan aku menghadap ke hadapan. aku teruskan berjalan. kiri kanan jalan ada banyak orang. aku malu menyeret bungkusan hitam yang busuk itu sepanjang perjalanan dan dilihat orang. tidak seorang pun mengambil peduli fasal aku. jauh sedikit ke hadapan, ada Mak dan Ayah. apakah mereka tidak nampak bungkusan ini ada bersama-sama aku? berjalan seiring dengan aku, Kakfara, Syafiq, Ilham, Ajib. aku nampak Paan. aku nampak Inani. aku nampak cikgu-cikgu dan lain-lain yang tidak aku namakan. sedar atau tidak, daripada orang sekeliling aku itulah aku kumpul isi bungkusan ini. isinya dosa!





ya Allah.... sesungguhnya dengan kuasa dan kasih Kau sahaja yang mampu menghapuskan dosa-dosa aku ini ya Allah. oleh itu, ampunkanlah aku ya Allah.


1 refleksi:

Miss Kitt said...

Manusia tak lepas daripada kesilapan. Kita hanya mampu menadah tangan setiap hari mohon diringankan, dilepaskan daripada azab dosa yang tak tertanggung..

Takpe..sama-sama kita muhasabah diri.
Jum, ambil kesempatan waktu dan ketika ini. Kumpul pahala banyak-banyak. Semoga setidak-tidaknya kelak ada belas daripada Tuhan untuk insan berdosa seperti kita..

=)

darjah

 
bloggerbukan.gila.kuasa